Konsep Integriti Nasional diwujudkan bagi membentuk hubungan sosial dalam kalangan masyarakat. Terangkan ciri-ciri integriti nasional yang dilaksanakan di Malaysia
Ciri-Ciri Integriti Nasional
KOLEJ KOMUNITI KUALA TERENGGANU
MPU 110112 PENGAJIAN MALAYSIA
PENSYARAH KURSUS:
PUAN DARMILA BINTI ALI
BIL | NAMA AHLI KUMPULAN | NO.PENDFATARAN |
1. | MOHAMMAD AIMAN HAKIM BIN MOHD ABDILAH | T01SKE23F040 |
2. | MUHAMMAD NASRULLAH BIN KAMARUDIN | T01SKE23F037 |
3. | MUHAMMAD ARIEF NAJMI BIN IMRAN | T01SKE23F033 |
4. | MUHAMMAD NOR ASYRAAF BIN ZAKARI | T01SKE23F047 |
5. | MUHAMMAD NAZIR BIN ABDUL HALIM | T01SKE23F039 |
Konsep Integriti Nasional diwujudkan bagi membentuk hubungan sosial dalam kalangan masyarakat. Terangkan ciri-ciri integriti nasional yang dilaksanakan di Malaysia
PENGENALAN:
Pelan Integriti Nasional
Pelan Integriti Nasional (PIN) digubal dengan merangkumi semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan. Hakikat kehidupan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama adalah suatu kurniaan dan kelebihan untuk dimanfaatkan. PIN juga menyerap falsafah dan prinsip Rukun Negara, iaitu membina masyarakat yang bersatu padu, adil, demokratik, liberal dan progresif serta berpegang teguh pada lima prinsip. Rukun Negara. PIN turut dibimbing oleh falsafah dan cabaran Wawasan 2020 ke arah mewujudkan sebuah negara maju menurut acuan sendiri menjelang 2020. Sebagai sebuah pelan yang lahir selaras dengan aspirasi rakyat dan dilaksanakan untuk kesejahteraan mereka, PIN mencerminkan ciri-ciri khusus masyarakat dan negara Malaysia. Di samping itu, PIN mengambil kira perkembangan antarabangsa, pengalaman negara-negara lain serta impak arus globalisasi. Ringkasnya, PIN adalah kesinambungan dan penterjemahan falsafah, prinsip, dan matlamat yang hendak dicapai dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta beberapa dasar strategik sebelum ini, di samping mengambil kira pelbagai perkembangan dan cabaran baru.
KONSEP PIN
PIN ialah sebuah pelan induk yang bertujuan memberikan hala tuju serta bimbingan kepada semua komponen atau sektor masyarakat dan negara. PIN juga memupuk, menyemai dan membaja sistem kehidupan masyarakat dan negara dalam usaha besar membina sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika, sekaligus negara yang berintegriti. PIN merupakan suatu gagasan yang dicetuskan oleh pucuk pimpinan dengan sokongan padu rakyat pelbagai kaum, lapisan dan wilayah. Kerjasama antara semua pihak ini menjadi kekuatan bagi mengubah atau menambahbaik nilai dan amalan masyarakat serta institusinya. Pendekatan PIN ialah mengkoordinasikan usaha semua komponen dan sektor dalam gerakan pemantapan integriti. PIN memerlukan keseluruhan institusi governan negara iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman supaya meningkatkan integriti mereka, menghormati dan mempertahankan prinsip pemisahan kuasa, serta melaksanakan fungsi masing-masing dengan cekap, telus, adil dan berkesan. PIN juga memerlukan pelbagai komponen dan institusi dalam masyarakat supaya merangka dan melaksanakan program pemantapan integriti mereka. Sinergi pelaksanaan program integriti oleh semua komponen dan sektor tersebut akan dengan sendirinya menyumbang kepada pemantapan integriti seluruh masyarakat dan negara.
OBJEKTIF UMUM
Objektif umum PIN ialah untuk merealisasikan hasrat Wawasan 2020, iaitu menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri dengan “membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan diitunjangi oleh budi pekerti yang luhur.
'
OBJEKTIF KHUSUS
Objektif khusus PIN adalah seperti berikut:
1. Memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika;
2. Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang;
3. Menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti;
4. Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara, dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat; dan
5. Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.
Penghayatan dan penterjemahan falsafah, prinsip dan objektif PIN oleh pelbagai sektor masyarakat dan negara sudah pasti akan menjadi suatu kekuatan yang ampuh bagi mengubah wajah masyarakat dan negara Malaysia. Kekuatan ini juga akan membolehkan Malaysia menangani cabaran baru abad ke-21 dengan lebih berkesan. Kesemua ini akan menyumbang kepada pencapaian cita-cita menjadi masyarakat maju mengikut acuan sendiri.
PENJELASAN
Nilai, Etika dan Integriti adalah tiga kata kunci terpenting yang mendasari PIN perlu diperjelaskan.
Satu set pegangan yang menjadi asas bagi pembentukan sikap dan kelakuan individu. Set pegangan ini menentukan kriteria perlakuan yang baik atau sebaliknya, yang diingini atau tidak dan positif atau negatif.
Etika ialah himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesyen.
1. Etika Individu
Etika individu ialah himpunan nilai pada diri individu yang membimbingnya dalam membezakan antara yang benar dan yang salah, yang baik dan yang buruk, yang patut dan boleh dilakukan, serta yang tidak patut dan tidak boleh dilakukan. Pemilihan antara perkara-perkara ini sentiasa berlaku semasa menjalankan tugas, dalam kehidupan sehari-hari, ataupun apabila berinteraksi dengan pihak lain.
2. Etika Organisasi
Bagi yang bekerja dalam sesebuah organisasi, etika organisasi menjadi garis panduan baginya menjalankan tugas, seperti perlu berpegang pada nilai bersih, cekap, amanah, jujur, benar, telus, bertanggungjawab dan adil. Oleh sebab organisasi berurusan dengan orang ramai, maka etika organisasi juga menuntut penjawat itu mematuhi Piagam Pelanggan.
Etika profesyen ialah kod yang menggariskan apa yang harus dibuat dan tidak harus dibuat oleh pengamal profesyen berkenaan. Antara profesyen yang mempunyai kod etikanya termasuk kedoktoran, kehakiman, undang-undang, perakaunan, kewartawanan dan perguruan. Misalnya, seorang doktor atau hakim terikat dengan etika profesyen yang dipraktikkannya. Seorang editor, pengarang atau wartawan pula perlu berpegang pada etika kewartawanan dalam penyebaran maklumat melalui media. Begitu juga seorang guru mesti mematuhi etika perguruan.
STRATEGI PELAKSANAAN PELAN TINDAKAN INTEGRITI
Keseluruhan pendekatan, strategi, dan pelan tindakan bagi mencapai objektif dan sasaran PIN merupakan salah satu agenda utama negara, dan kini dirujuk sebagai Agenda Integriti. Matlamat Agenda Integriti boleh dicapai dengan mengatur secara rapi Strategi Pelaksanaan dan Pelan Tindakan untuk pelbagai institusi masyarakat dan negara.
Dari segi strategi pelaksanaan, pucuk pimpinan perlu memberikan isyarat yang jelas, tegas dan konsisten tentang komitmen mereka melaksanakan Agenda Integriti. Komitmen yang sama perlu ditunjukkan oleh anggota lain dalam kepimpinan negara. Isyarat sedemikian akan mengobarkan semangat, keyakinan dan keghairahan rakyat untuk turut bersama dengan kepimpinan sesuai dengan prinsip "Rakyat menyokong pemimpin yang menyokong rakyat".
Sebagai strategi jangka panjang, gerakan pemantapan integriti harus mempunyai asas yang kukuh. Asas ini perlu dibina dari bawah dengan melibatkan institusi paling asas, iaitu keluarga, komuniti dan masyarakat sivil.
Pembabitan keluarga dan komuniti setempat dalam gerakan pemantapan integriti akan menjamin kejayaan agenda menjadikan integriti budaya masyarakat dalam jangka panjang. Pendekatan ini selaras dengan hakikat bahawa masyarakat Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang berorientasikan keluarga dan komuniti. Kini, nilai keluarga dan komuniti masih kukuh dan mendalam walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran. Justeru, bagi memastikan penerusan keteguhan nilai-nilai itu, pembinaan integriti harus bermula daripada keluarga. Keluarga adalah unit paling asas bagi pembentukan sikap dan nilai murni dalam diri anggotanya. Keluarga membimbing tingkah laku dan membentuk serta memantapkan integriti anggotanya. Tumpuan pembentukan nilai-nilai murni harus bermula daripada kanak-kanak manakala ibu bapa dan penjaga harus membimbing dan menjadi teladan yang baik. Dengan demikian, dalam gerakan pemantapan integriti, institusi keluarga memainkan peranan utama.
Agenda Integriti untuk keluarga ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pembangunan keluarga dan insan berintegriti melalui pembinaan keluarga bahagia;
• Peningkatan integriti dalam pengurusan kesihatan jasmani dan rohani; dan
• Pemantapan nilai-nilai murni sebagai asas pembentukan identiti.
Institusi keluarga berada di tengah-tengah komuniti atau masyarakat setempat. Komuniti terdiri daripada keluarga dan kelompok-kelompok kejiranan yang menjalin rangkaian sehingga menjadi komuniti yang lebih luas. Pelaksanaan Agenda Integriti untuk keluarga berkaitan erat dengan Agenda Integriti untuk komuniti.
Dalam komuniti terdapat pelbagai institusi tradisional seperti ketua kampung, imam, penghulu, pemanca dan ketua kaum yang sepatutnya menyemai nilai-nilai murni masyarakat kepada generasi baru. Kewujudan institusi seperti ini membantu pembentukan identiti berlandaskan nilai tradisi. Selain itu terdapat pertubuhan akar umbi seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Penduduk yang menjaga kerukunan hidup dalam komuniti, termasuk menangani gejala sosial. Juga, terdapat institusi khusus seperti sekolah, pusat asuhan kanak-kanak, tadika, masjid, surau, pusat mengaji al- Quran dan institusi ibadat lain yang boleh berperanan membina jasmani, emosi, rohani dan intelek kanak-kanak.
Agenda Integriti untuk komuniti ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pengukuhan nilai-nilai murni kejiranan dan komuniti;
• Pemantapan pertubuhan dan institusi asas dalam komuniti; dan
• Pengukuhan semangat patriotisme dan perpaduan antara kaum serta kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar.
Ruang di antara keluarga dan komuniti dengan institusi besar, khususnya negara dan kuasa pasaran atau institusi ekonomi ialah ruang masyarakat sivil. Melalui proses modenisasi, perkembangan kelas menengah, pengaruh dan interaksi dengan dunia antarabangsa serta impak globalisasi, ruang masyarakat sivil semakin berkembang. Dalam ruang ini terdapat pelbagai pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil (Civil Society Organisation - CSO) yang memperjuangkan pelbagai isu seperti hak wanita, pengguna, alam sekitar dan hak asasi man usia. Pertubuhan-pertubuhan ini juga bergiat memajukan profesion atau aktiviti tertentu seperti sukan, kesenian, kebudayaan dan aktiviti keagamaan; ataupun berperanan sebagai pemberi khidmat penjagaan.
Agenda Integriti untuk masyarakat sivil ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Peningkatan integriti masyarakat sivil - badan bukan kerajaan;
• Peningkatan sumbangan CSO kepada usaha pemantapan integriti; dan
• Pengukuhan kerjasama antara CSO, kerajaan dan swasta untuk pemantapan integriti.
Begitu juga dengan institusi sosiobudaya yang merangkumi pendidikan (sekolah, kolej dan universiti), kesihatan, rekreasi dan sukan, media massa serta seni, sastera dan warisan turut memainkan peranan membina dan mengukuhkan integriti masyarakat dan negara. Institusi ini menyumbang kepada pembinaan modal sosial, meningkatkan kesihatan dan keceriaan, memupuk perasaan kekitaan, menangani gejala sosial dan lain-lain. Dengan demikian, institusi tersebut mempunyai pengaruh besar terhadap pengukuhan integriti keluarga, komuniti dan seterusnya masyarakat dan negara.
Agenda Integriti untuk institusi sosiobudaya ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pembinaan insan yang berintegriti dalam persekitaran sosiobudaya yang berintegriti;
• Peningkatan integriti dalam pengurusan kesihatan, jasmani dan rohani; dan
• Pemantapan nilai-nilai murni, perpaduan dan pembentukan identiti warga negara.
Masyarakat Malaysia berbilang kaum dan agama. Institusi agama sangat penting dalam membina integriti individu, masyarakat dan negara. Pembinaan ini dilakukan dengan menyemai nilai-nilai moral dan etika di dalam diri individu dan keluarga berlandaskan ajaran agama masing-masing. la juga dilakukan dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam pengurusan pelbagai institusi lain termasuk pendidikan, media, ekonomi, politik dan pentadbiran. Oleh yang demikian, institusi agama dan kepelbagaian agama perlu ditangani sebaik mungkin.
Agenda Integriti untuk institusi agama ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Peningkatan kerjasama, persefahaman dan saling menghormati antara penganut pelbagai agama;
• Penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni ajaran agama; dan
• Peningkatan penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni ajaran agama Islam sebagai agama kemajuan.
Institusi ekonomi adalah institusi yang memakmurkan masyarakat dan negara melalui proses pengeluaran dan penyediaan peluang pekerjaan. Bergerak dalam ruang ini ialah banyak syarikat korporat dan syarikat besar lain, di samping perusahaan sederhana dan keci!. Mereka telah membuat sumbangan penting kepada kemajuan negara dan kemakmuran rakyat Malaysia pada hari ini. Selain itu terdapat organisasi ya~ mewakili kepentingan majikan dan
kepentingan pekerja. Organisasi ini memainkan peranan masing-masing dalam memelihara hubungan yang membolehkan urusan ekonomi dan pekerjaan dilaksanakan dengan berkesan.
Agenda Integriti untuk institusi ekonomi ialah bagi mencapai objektit berikut:
• Pemantapan integriti sektor korporat;
• Pengembangan dan pengukuhan budaya niaga yang beretika; dan
• Pengukuhan perpaduan antara kumpulan etnik dan antara wilayah melalui aktiviti ekonomi.
Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem politik demokrasi dengan pemerintah dipilih melalui pilihan raya. Sistem ini menggabungkan institusi raja berperlembagaan dengan sistem pemerintahan berparti di peringkat pusat dan negeri dengan pilihan raya dijalankan secara berkala. Sistem ini, yang sudah dilaksanakan semenjak kemerdekaan, terbukti berkesan dan berjaya membawa kestabilan, keharmonian dan pembangunan kepada rakyat berbilang kaum. Justeru, sistem ini perlu dipertahankan dan dikembangkan manakala pelbagai kelemahan dan kekurangannya diperbaiki.
Cabaran terbesar parti dan ahli politik, terutamanya bagi parti yang memegang kuasa ialah memantapkan integriti dan menangani jangkaan rakyat yang kian meningkat. Hasil kemajuan pendidikan dan pendedahan kepada dunia luar, rakyat semakin sedar tentang hak mereka. Dengan itu, mereka semakin tidak teragak-agak untuk mengemukakan tuntutan bagi mendapatkan hak mereka itu. Rakyat juga mahu gelanggang politik menjadi medan yang bersih dan landasan memajukan masyarakat dan negara. Justeru, rakyat menuntut mereka yang menceburi politik atau yang berkuasa supaya bersifat amanah, telus, bertanggungjawab, serta benar-benar berkhidmat demi kepentingan rakyat dan negara. Bahkan, rakyat meletakkan parti dan ahli politik di bawah kanta mikroskop untuk dinilai. Selain itu, rakyat mahukan gelaran "Yang Berhormat" menjadi "Yang Berkhidmat". Wakil-wakil Rakyat juga dikehendaki berpegang pada etika dan prinsip "bekerja bersama-sama ketua, bukan untuk ketua, tetapi untuk rakyat dan negara".
Agenda Integriti untuk institusi politik ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pengekalan keluhuran Perlembagaan dan sistem politik negara;
• Pengekalan kedaulatan dan peningkatan keutuhan institusi parlimen sebagai institusi penggubal undang-undang yang luhur;
• Pengamalan politik yang berintegriti serta pengembangan budaya politik yang sihat, beretika, matang dan demokratik mengikut acuan sendiri; dan • Pemantapan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan tadbir urus terbaik.
Institusi pentadbiran di Malaysia adalah antara yang terbaik di negara membangun. Jentera pentadbiran bersama-sama dengan jentera politik merupakan tulang belakang kekuatan masyarakat dan negara. Pentadbiran merupakan aspek penting yang menentukan kejayaan sesuatu dasar dan program yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Pentadbiran sektor awam adalah peneraju utama yang memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam yang cekap dan berkualiti amat perlu bagi memenuhi keperluan masyarakat dan memastikan kesejahteraan hidup rakyat. Oleh yang demikian, integriti jentera pentadbiran sangat penting ditangani.
Agenda integriti untuk institusi pentadbiran ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pemantapan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan tadbir urus terbaik; dan
• Peningkatan integriti jentera pentadbiran awam.
Pelaksanaan pelbagai strategi dan pelan tindakan untuk setiap institusi dan sektor dalam masyarakat dan negara seperti yang digariskan di atas akan meningkatkan daya tahan gerakan pemantapan etika dan integriti. Semua ini akan menyumbang kepada pembangunan yang seimbang dan lestari, kestabilan politik dan keharmonian kehidupan rakyat pelbagai kaum serta peningkatan kesejahteraan hidup rakyat.
Bagi menentukan agar setiap komponen atau sektor dapat bertemu, berkongsi pengalaman dan berdialog antara satu sama lain di pelbagai peringkat, menilai keberkesanan program integriti masing-masing serta membaharui komitmen mereka kepada usaha peningkatan integriti, satu Konvensyen Integriti perlu diadakan secara berkala. Konvensyen yang menjadi forum pertemuan semua komponen dan sektor ini akan dianjurkan di pelbagai peringkat dengan kemuncaknya di peringkat kebangsaan.
Institut Integriti Malaysia (IIM) yang ditubuhkan serentak dengan pelancaran PIN berperanan selaku penganjur Konvensyen ini secara bersama dengan pelbagai sektor berkenaan. IIM juga berperanan selaku penyalur sebarang perakuan yang terbit daripada Konvensyen tersebut kepada Kerajaan serta pelbagai pihak lain yang bekenaan.
INTEGRITI
Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari.
1. Integriti Individu
Integriti individu ialah keselarasan di antara apa yang dikatakan oleh individu dengan apa yang dikotakannya; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Apa yang dilakukan individu itu pula cepat, tepat dan bermutu. Apabila dia bertindak atau bertingkah lalu demikian secara konsisten dalam pelbagai segi, dia dikatakan mempunyai integriti. Apabila bertindak sebaliknya, dia dikatakan tidak berintegriti atau lemah integritinya.
Selain individu, organisasi juga mesti mempunyai integriti. Integriti organisasi tercermin dalam perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika organisasi ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi.
3. Integriti Penjawat Awam
Bagi individu yang memegang amanah seperti mereka yang menjawat jawatan awam, integriti bermaksud melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Penjawat jawatan itu tidak boleh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Apabila berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Dengan demikian penjawat itu perlu telus dan tulus, harus memikul pertanggungjawaban terhadap ketuanya, orang di bawahnya dan kepada pihak lain.
Pembudayaan etika dan integriti individu harus melalui satu proses seumur hidup. Ia melibatkan peranan pelbagai institusi masyarakat seperti keluarga, pendidikan dan media massa. Pembudayaan etika dan integriti dalam organisasi pula, menuntut kepimpinan bertindak sebagai teladan (role model) manakala anggota lain menzahirkan kod itu dalam tindakan mereka. Organisasi juga perlu mempunyai matlamat yang jelas dan realistik yang dikongsi bersama oleh anggota organisasi. Ia perlu mempunyai sistem dan prosedur yang baik bagi melicinkan pelaksanaan tugasnya secara cekap, teratur, dan tepat, di samping mempunyai sistem kawalan kualiti, pemantauan, ganjaran dan penghukuman. Etika dan integriti yang digariskan itu perlu dipatuhi kerana akhirnya seseorang itu bertanggungjawab kepada Tuhannya.


